TERBITAN BAHARU UUM PRESS DI PBAKL 2026
FALSAFAH BUDI MELAYU MENURUT ZA’BA DAN SYED HUSSEIN ALATAS
Khairiah Mohd Yassin, 2026
ISBN 978-629-491-322-6, 173 hlm, RM38.00
Budi merupakan konsep teras dalam tradisi pemikiran Melayu yang berperanan membentuk keperibadian, pandangan hidup serta nilai moral masyarakatnya.
Namun begitu, sejauh manakah budi difahami sebagai suatu kerangka falsafah yang menyeluruh, melangkaui tafsiran etika dan adat budaya semata-mata serta apakah peranannya dalam membina kesedaran akal, tanggungjawab sosial dan sikap kritis masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa? Bertitik tolak daripada persoalan ini, buku ini berteraskan falsafah budi Melayu menurut Za’ba dan Syed Hussein Alatas diketengahkan bagi merungkai makna sebenar budi serta elemen falsafah yang terkandung dalamnya dari sudut ontologi, epistemologi dan aksiologi.
Buku ini juga turut menganalisis secara perbandingan kerangka pemikiran dua orang tokoh termaklum, sama ada dari aspek perbezaan mahupun persamaan, khususnya berkait rapat dengan pemaknaan budi dalam konteks masyarakat Melayu. Berdasarkan pendekatan analitikal yang digunakan, karya ini menawarkan kepada khalayak suatu kerangka falsafah yang bernilai dan relevan, bukan sahaja sebagai rujukan ilmiah, malah panduan pemikiran berterusan kepada generasi hari ini dan akan datang dalam memahami konsep budi Melayu sebagai teras keperibadian dan kesinambungan peradaban bangsa.