05 Jul 2015 - Mingguan Malaysia
BUKU tulisan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Pelbagai Etnik versi bahasa Jepun dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo Jumaat lalu. Acara pelancaran buku itu dibuat oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.
Buku asal yang ditulis dalam bahasa Inggeris telah diteijemah dalam versi bahasa Jepun selepas diterjemahkan dalam bahasa Melayu pada 2014.Versi bahasa Jepun kali ini diterbitkan secara bersama oleh Penerbit UUM, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Japan-Malaysia Association (JMA). Ini adalah hasil penyertaan dan penglibatan Malaysia sebagai Negara Tema di pesta buku berkenaan tahun lalu.
Pihak JMA berminat untuk menerbitkan buku ini dalam bahasa Jepun kerana mengandungi maklumat lengkap bagi memahami dunia politik Malaysia, khususnya dalam proses pembinaan bangsa pelbagai etnik atau kaum. Malah buku ini diterbitkan khusus untuk masyarakat Jepun bagi meneliti dinamisme politik baharu di Malaysia yang kini bersifat lebih inklusif serta hubung kaitnya dengan proses perkembangan sosioekonomi.
Selain itu buku ini padat dengan sumber bersandarkan pelbagai teori terkemuka tentang aspek pembinaan bangsa. Dengan ulasan yang cukup teliti dan kritis, penulis . membahagikan bab-bab yang menitikberatkan perkara Dasar Ekonomi Baru, nasionalisme Melayu, kedudukan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta perbincangan tentang pembentukan "bangsa Malaysia".
Bagi memastikan buku ini tidak sarat dengan teori ilmiah atau dibaca secara sehala, penulis melontarkan cabaran untuk pembaca berfikir di luar kotak dengan mencetuskan idea baharu bagi menggerakkan negara ke hadapan dalam proses pembinaan bangsa. Selepas majlis pelancaran, turut diadakan program resensi buku di Gedung Buku Kinokuniya, Shinjuku bagi memberi peluang pembaca Jepun untuk memahami lebih mendalam aspirasi penulis dalam buku tersebut.
Buku Politik Bangsa Malaysia versi bahasa Jepun dilancarkan di Tokyo International Book Fair
UUM ONLINE:4 Julai 2015,Tokyo, Jepun, - Buku 'Politics of Bangsa Malaysia' hasil karya Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dato' Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak yang diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan universiti tempatan dan pihak umum di negara matahari terbit itu sebaik sahaja ianya dilancarkan. Karya Naib Canselor terbitan bersama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), UUM Press dan Japan-Malaysia Association itu dilancarkan Duta Besar Malaysia ke Jepun, TYT Dato' Ahmad Izlan Idris pada pagi semalam (3 Julai) di Tokyo International Book Fair (TBIF) 2015 yang berlangsung mulai 1 hingga 4 Julai.
Pelancaran buku tersebut dihadiri penterjemah-penterjemah buku berkenaan iaitu Shunsuke Otano, Pengarah Japan-Malaysia Association, Takashi Moribayashi dan Pengarah Eksekutif Japan-Malaysia Association, Arai Takuji.Turut hadir Ketua Jabatan Penterjemahan dan Latihan ITBM, Siti Rafiah Sulaiman dan Pengarah UUM PRESS, Dr.Ram Al-Jafri Saad.
TBIF merupakan acara penerbitan terbesar di Jepun dan disertai oleh penerbit buku dari pelbagai negara di seluruh dunia. Buku-buku yang dipamerkan merupakan buku yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Jepun dan dianggarkan sekurang-kurangnya 1,000 pempamer mengambil bahagian dalam pesta empat hari berkenaan. Selain buku, turut dipamerkan produk-produk animasi dan teknologi dalam bidang ICT. Menurut Dato' Ahmad Izlan Idris, buku karya Naib Canselor itu merupakan bahan bacaan yang menarik untuk dijadikan sebagai rujukan ilmiah dalam bidang sains politik terutamanya di Malaysia.
Sementara itu pada sebelah malamnya, telah berlangsung resensi buku berkenaan di Gedung Kinokuniya, Shinjuku, Tokyo yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Import dan Pengedaran Konikuya Ltd., Hiroshi Sogo. Naib Canselor mendapat jemputan khusus oleh pihak Kinokuniya Ltd. untuk menyampaikan persembahan ringkas mengenai buku tulisannya itu berikutan pencapaian buku tersebut yang pernah mendapat status 'best seller' di Kinokuniya KLCC pada 2014. Kinokuniya adalah rangkaian kedai buku terkemuka dan terbesar di Jepun yang mempunyai cawangan di seluruh dunia serta merupakan pengedar buku tersebut di Jepun.